Wednesday, February 10, 2010

Dr. Mahathir puji kepimpinan Najib


KULIM 9 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira ke atas kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak mempraktikkan corak pentadbiran yang selari dengan kehendak dan kepentingan rakyat.

Menurut Dr. Mahathir, sejak mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dikatakan cukup disenangi pelbagai pihak kerana mampu memimpin negara dengan lancar.
Katanya, keadaan tersebut mendorong kepada kestabilan politik dan menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara untuk terus membangunkan negara ini.

"Saya telah beberapa kali bertemu Datuk Seri Najib sejak mengambil alih kepimpinan dan senang dengan cara beliau mentadbir negara.

"Saya lihat beliau bersungguh-sungguh untuk meneruskan tradisi pembangunan negara ini seperti yang diasaskan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan pemimpin-pemimpin lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 rakyat pelbagai kaum pada program Mesra Rakyat anjuran bersama UMNO Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Taman Teknologi Tinggi Kulim, dekat sini malam tadi.

Hadir bersama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud.

Dr. Mahathir berkata, Najib berjaya menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik walaupun adakalanya timbul beberapa isu yang kurang menyenangkan dalam parti, kerajaan dan negara.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cekap dan tidak menimbulkan implikasi negatif sehingga menjejaskan kepentingan negara.

"Saya berharap beliau akan dapat meneruskan kepimpinan ini dengan baik dan teruskan juga semangat bekerja serta berjasa kepada rakyat seperti yang dilakukan mana-mana pemimpin terdahulu," jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu turut mengajak rakyat supaya bersama-sama memberikan sokongan terhadap kepimpinan negara sekarang dan menolak parti pembangkang yang kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.

"Saya bukan datang ke Kulim dan Padang Serai ini berkempen tetapi sebagai orang yang terlibat membina negara, saya ingin mengajak kita teruskan kestabilan dan membangunkan negara seperti mana yang diletakkan dahulunya iaitu kerajaan Perikatan dan sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Tambah beliau, rakyat juga diharap dapat menilai keupayaan kerajaan pakatan pembangkang yang dikatakan tidak dapat memenuhi kehendak umum di beberapa buah negeri.

"Mereka tidak berupaya tadbir dengan baik dan rakyat dilupakan. Sekarang kita boleh melihat perkara ini di Pulau Pinang dan Selangor malah di Kedah.

"Sebab itulah, sejak kebelakangan ini, timbul orang itu dan ini yang mahu keluar dari pakatan pembangkang," katanya.

Mengenai krisis dalaman yang wujud di kalangan parti komponen BN, Dr. Mahathir berkata, beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, BN dijangka memperoleh kemenangan majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

No comments:

Post a Comment