Monday, October 18, 2010

Kuantan dilabelkan sebagai 'Bandar Tikus'?

TAHAP kebersihan premis makanan di bandar Kuantan boleh dianggap pada tahap sederhana.

Jika markah penuh yang diberikan ialah sebanyak 100 peratus, kebanyakan premis makanan di ibu negeri Pahang ini hanya 65 peratus dan di bawah daripada kadar itu.

Dalam program penarafan bintang yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) baru-baru ini, hanya tiga premis yang mendapat 5 Bintang.

Itu pun kesemuanya merupakan premis makanan segera. Dua premis makanan 24 jam milik India Muslim di bandar ini mendapat penarafan 4 Bintang.

Tiada premis makanan Melayu yang mendapat penarafan bintang sedangkan kaum itu dikenali sebagai bangsa pembersih.

Di manakah silapnya?

Ternyata faktor kebersihan premis makanan tidak selaras dengan perkembangan pembangunan dan peningkatan kualiti perbandaran di Kuantan masa kini.

Pertumbuhan pesat bandar Kuantan telah menggalakkan lagi pembukaan kedai makan dan restoran, gerai dan kilang pembuatan makanan.

Namun, di sebalik rakyat menikmati pertumbuhan pesat ekonomi di bandar Kuantan, ramai pengusaha atau pengendali makanan mengabaikan kualiti kebersihan semata-mata mahu mengejar keuntungan.

Bagi menilai tahap kebersihan terutama di kalangan pengendali atau pengusaha premis makanan di sekitar bandar Kuantan, MPK menjalankan satu kajian berkaitan tahap pencemaran bakteria.

Kajian itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Antarabangsa (CLAIR) yang beribu pejabat di Jepun yang diketuai pakar kebersihan makanan, Usui Chikara.

Turut terlibat dalam kajian di bandar ini selama dua minggu ialah pakar kebersihan makanan dari CLAIR Singapura dan seorang pakar dari Universiti Nasional Singapura.

Kajian tersebut dilakukan ke atas peralatan memasak termasuk kain pengelap di 12 premis makanan popular di bandar Kuantan.

Hasil kajian itu mendapati peralatan di premis makanan terbabit tidak memuaskan iaitu 25 peratus melebihi tahap pencemaran yang dibenarkan.

Ia sekali gus memberi gambaran tahap kebersihan premis makanan masih rendah dan ia boleh menyumbang kepada masalah keracunan makanan.

Persampelan makanan yang dijalankan oleh Unit Kawalan Mutu Makanan MPK sehingga Ogos lalu ke atas premis makanan terpilih mendapati bahawa 30 peratus iaitu 12 daripada 40 sampel makanan bagi analisis mikrobiologi tercemar dengan bakteria E-Coli, Basilus Cereus dan Stphlycoccus.

Kedua-dua kajian terbabit mendapati tahap kebersihan premis makanan di bandar Kuantan masih tidak mencapai kualiti makanan yang memuaskan iaitu mencapai atau melebihi 80 peratus penilaian kebersihan makanan.

Masalah lain yang turut menyumbang kepada faktor kualiti kebersihan premis makanan ialah berkaitan pembiakan lipas, lalat dan tikus (LILATI).

Perlu diingat bahawa tindakan mengawal LILATI di kawasan awam atau luar premis makanan adalah tanggungjawab MPK sedangkan kawalan atau pemusnahan haiwan perosak itu di dalam premis adalah tugas pemiliknya.

Berbanding lalat dan lipas, masalah tikus di bandar Kuantan dianggap lebih serius.

Pembiakan tikus di premis makanan boleh menyumbang kepada masalah penyakit kencing tikus atau leptospirosis jika ia tidak dikawal sepenuhnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 1,945 ekor tikus berjaya ditangkap oleh MPK di pusat bandar terutama di luar premis makanan dan tempat pembuangan sampah.

MPK mengenal pasti dua lokaliti yang mempunyai indeks kawalan tikus yang tidak terkawal iaitu di Pasar Besar Kuantan dan Jalan Datuk Wong Ah Jang.

Sebagai usaha untuk mengawal tikus-tikus terbabit, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengubah waktu kutipan sampah dari siang kepada malam bagi mengawal pusat pembuangan sampah yang menjadi tempat tikus mencari makan pada waktu malam.

MPK juga menggiatkan lagi operasi tikus atau Ops Tikus di kawasan awam dan premis makanan bertujuan memusnahkan haiwan tersebut.

Meskipun begitu masih banyak rungutan orang ramai terhadap kehadiran tikus di bandar Kuantan.

Ada yang mendakwa pernah melihat tikus sebesar kucing yang menyelinap di longkang-longkang yang menjadi tempat persembunyian di bandar ini.

Salah satu punca wujudnya ribuan tikus di pusat bandar ini disebabkan sikap segelintir pemilik premis makanan yang membuang sampah dan sisa makanan secara tidak bersistematik.

Justeru, MPK dan pengendali premis makanan perlu lebih proaktif menangani masalah kehadiran tikus-tikus ini.

Syor yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong supaya pembersihan berkala di saliran-saliran atau longkang-longkang yang menjadi habitat tikus perlu dilaksanakan.

Pendek kata, apa sahaja usaha perlu dijalankan supaya Kuantan tidak dilabelkan sebagai 'Bandar Tikus' sebagaimana Kota London yang pernah mendapat jolokan tersebut sekitar kurun ke-18 dan 19.

sumber:



harap dapat diperbaiki keadaan agar tidak memalukan Negeri Pahang sendiri

No comments:

Post a Comment