Thursday, March 4, 2010

KERAJAAN KEDAH MAHU LEPAS TANGAN


MASALAH tunggakan bayaran sewa perumahan awam di Kedah sudah lama berlarutan sehingga kadangkala menjadi seperti duri dalam daging bagi kerajaan negeri.

Berilah amaran atau notis perundangan sekalipun, masalah itu tetap tidak selesai walaupun berlaku sedikit peningkatan daripada segi kutipan sewa.

Kutipan sewa itu amat penting bagi kerajaan negeri kerana ia menjadi sumber pendapatan dan akan digunakan semula untuk urusan penyenggaraan rumah berkenaan.

Masalah tunggakan kutipan sewa itu pernah cuba diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah sebelum ini tetapi penyelesaian secara total belum pernah berjaya.

Sikap kerajaan BN yang berlembut dengan rakyat dan mengutamakan kebajikan mereka menyebabkan masalah tunggakan sewa sukar diselesaikan dan menjadi dilema kerajaan negeri. Lebih-lebih lagi apabila ada parti politik yang menjadikannya sebagai modal kempen mereka.

Malah usaha untuk memberi hak milik kepada penyewa juga pernah diatur oleh kerajaan BN melalui kaedah sewa beli iaitu dalam tempoh tertentu rumah itu akhirnya menjadi hak penyewa.

Amaran demi amaran juga diberi mengenai tindakan tegas melalui perundangan termasuk menyita rumah berkenaan walaupun ia dianggap tidak popular dan boleh menjejaskan kuasa politik kerajaan negeri.

Namun sehingga kini, masalah tunggakan itu belum dapat diselesaikan dan sehingga kini tunggakannya mencecah RM27 juta.

Akhirnya, penyelesaian tunggakan bayaran sewa itu terus buntu. Semuanya kerana kedegilan penyewa untuk menjelaskan sewa bulanan.

Sikap liat membayar sewa rumah berkenaan bukan perkara asing bagi rakyat negara ini dan sebab itulah masalah yang serupa juga dihadapi di projek perumahan awam di negeri-negeri lain.

Cuma pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri terlibat agak berbeza dan berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung supaya tidak ada penyewa yang teraniaya.

Masalah penghuni rumah awam tidak membayar sewa sepatutnya tidak menjadi masalah kepada kerajaan pakatan pembangkang di Kedah kerana satu masa dahulu, mereka juga yang melenting apabila kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyewa terbabit.

Sebab itulah, sedikit pelik apabila kerajaan pakatan pembangkang Kedah mengumumkan langkah penyelesaian tunggakan sewa tersebut dengan melibatkan pihak bank.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan tentang rumah awam itu adalah sebahagian penghuninya terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah, malah ada yang hidup melarat di rumah-rumah tersebut.

Walaupun kadar sewanya tidak sampai RM150 sebulan, namun ia amat besar bagi mereka dan lebih baik digunakan bagi memenuhi keperluan makanan.

Jika ramai penyewa rumah awam terlibat mempunyai kemampuan yang besar, sudah pasti ramai yang mencari kediaman lain yang jauh lebih selesa terutama di Kedah yang kadar sewanya tidaklah begitu tinggi.

Sebab itulah, para penghuni rumah awam di Taman Wira Mergong, Alor Setar bangkit menentang langkah kerajaan pakatan pembangkang yang diterajui Pas dalam menyelesaikan tunggakan tersebut pada Sabtu lalu.

Kerajaan negeri Kedah ketika ini hanya nampak campur tangan pihak bank sebagai penyelesaian masalah kutipan sewa itu, selain mereka mendapat sumber baru dan tidak lagi terbeban dengan kos penyenggaraan.

Namun langkah itu sudah pasti akan menyebabkan ramai rakyat marhaen yang tinggal di perumahan awam terpaksa keluar dari kediaman mereka sejak dua dekad lalu akibat tidak layak mendapat pembiayaan bank atau gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan dalam tempoh ditetapkan.

Tindakan kerajaan pakatan pembangkang di Kedah itu seolah-olah menunjukkan mereka mahu 'cuci tangan' kerana bukan kerajaan negeri yang mengambil tindakan terhadap penyewa tetapi pihak bank.

Jika itulah niat di sebalik rancangan penyelesaian tunggakan sewa itu, ia sebenarnya amat bertentangan dengan 'kerajaan kebajikan' yang diuar-uarkan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum, dua tahun lalu.

"MAKAN BOLEH SEBARANG MAKAN, CAKAP TIDAK SEMUDAH PERBUATAN, NEGARA BERKEBAJIKAN KONONNYA, AKHIRNYA LEPAS TANGAN SAHAJA...""

No comments:

Post a Comment