Wednesday, September 8, 2010

Gunakan ISA, Rakyat Dibelakang Anda


SEBENARNYA apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Najib kelmarin mengenai “jangan persoal Perlembagaan” adalah satu pendirian tegas yang amat kita tunggu-tunggukan. Malah kita mahu beliau mengeluarkan kata-kata yang lebih tegas lagi.

Buat permulaan, itu pun sudah memadai. Sebenarnya itulah yang rakyat mahu dengar dari mulut PM. Benar kata beliau “rakyat perlu mengelak daripada bertindak atau mengeluarkan tutur kata yang boleh mengguris perasaan kaum lain… jika perkara-perkara itu dijiwai, ia mampu meredakan ‘suhu panas’ yang melanda negara sejak akhir-akhir ini.”

Sebenarnya sejak akhir-akhir ini rakyat begitu bimbang dengan suasana di negara ini. Unsur-unsur perkauman semakin menegang sehinggakan rakyat kebingungan ke mana akhir kesudahannya. Secara politik, itulah yang mahu dilihat oleh pihak yang satu lagi.

Lagi berpecah masyarakat lagi suka mereka. Ia adalah political mileage bagi mereka. Lagi berpecah lagi bagus. Lagi celaru, maka mereka beranggapan undi akan datang kepada mereka. Mungkin betul strategi mereka itu. Rakyat mungkin akan hilang keyakinan kepada kerajaan jika kecelaruan dan kegelisahan ini terus berlaku tanpa berjaya dikawal.

Namun bagi rakyat yang ramai ini mereka mahu melihat perkara itu tidak berlaku. Api panas itu harus dipadamkan segera. Semua pihak harus tegas. PM harus tegas, dan pihak-pihak berkuasa harus tegas.

KDN lagilah harus tegas. Ramai juga yang bercakap mengenai KDN sekarang ini. Orang sudah rindukan satu tindakan tegas bagi menyejukkan keadaan. Ini negara kita, kita sayangkan negara ini, maka oleh itu apa peduli orang luar cakap mengenai hal ehwal keselamatan negara ini.

Gunakan ISA. Kami semua rakyat Malaysia yang banyak ini, bukan yang sedikit itu mahukan kerajaan menggunakan undang-undang tersebut ke atas pihak yang terus-menerus mahu memanaskan dan mengancam suasana negara ini.

Ikut trend semasa, orang yang cuba merosakkan keharmonian ini tidak peduli langsung dengan Akta Hasutan. Repot-repot polis yang dibuat di bawah akta itu juga tidak lagi berkesan. Ia hanya akan menambah beban kerja polis untuk membuka kertas siasatan demi kertas siasatan. Kita bimbang di masa siasatan demi siasatan dijalankan, nasi sudah menjadi bubur.

Selama ini kita hidup aman dan damai di negara ini. Itulah yang kita semua mahukan. Hanya orang yang mempunyai niat yang tidak baik dan tidak mahu ISA menganggu gugat mereka sahaja yang akan menentang ISA dan mahu ia dihapuskan. Jangan jadikan segelintir penunjuk perasaan (tidak sampai 10 orang) di London tempoh hari yang mahu ISA dihapuskan, sebagai petunjuk untuk kerajaan berlembut dalam soal itu. Semua orang tahu tunjuk perasaan itu didalangi oleh pihak pembangkang negara ini.

Melihatkan suasana mutahir ini, maka ISA harus diteruskan. Ia hanya boleh dihapuskan sekiranya negara ini benar-benar aman, damai, tenteram dan harmoni. Selagi itu belum dicapai, ISA perlu dikekalkan.

Selagi Perlembagaan negara yang menjadi tunjang kepada kenegaraan ini terus dipermainkan, selagi isu-isu perkauman yang boleh memporak-perandakan masyarakat terus diperkotak-katikkan, selagi soal agama dipertikaikan, selagi soal raja-raja Melayu diperkecil-kecilkan, ISA masih diperlukan.

Kita mahu merayakan perayaan kita dalam suasana aman, damai. Kita mahu supaya semua kaum dapat kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain dalam semangat sentosa. Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak cuba mengganggunya.

Kita juga mahu ISA dikenakan, jika benar, ada pihak dalam negara yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan di Jakarta untuk mengapi-apikan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. Jika benar dakwaan itu, KDN jangan hanya berpeluk tubuh.

Rakyat memberi mandat kepada kerajaan ini untuk menjaga keharmonian kami semua. Setelah 53 tahun memerintah negara tercinta ini, tanpa sekali pun diterajui pihak lain, kerajaan BN telah berjaya membawa negara ini ke mercu jayanya. Itu semua adalah hakikat.

Pandanglah ke kiri dan ke kanan. Malaysia sebenarnya adalah antara negara tercemerlang di rantau ini, di kalangan negara-negara Arab dan negara Islam dan di Afrika, waima Selatan Amerika dan antara sesetengah Eropah sekalipun. Kita bangga menjadi rakyat negara ini.

Oleh itu mandat tersebut harus dijagai sebaik-baiknya. Kepercayaan itu harus dijadikan amanah.

Persoalannya, apakah kejayaan negara ini selama ini berlaku adalah kerana ISA dihapuskan? Singapura yang maju itupun masih ada ISA, begitu juga di Thailand.


No comments:

Post a Comment