Thursday, September 2, 2010

Cerita Lama

Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci mengenai ketirisan 52 billion saham yang sepatutnya menjadi pegangan bumiputera ada yang bertanya apakah ini satu isu yang baru.

Jawabnya tidak.Malah hal ini pernah dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta langkah diambil kerajaan membendungnya hal itu yang sekian lama menjadi isu dari masa ke semasa.

Anwar sendiri pernah jadi Menteri Kewangan selama beberapa tahun dan lama berada dalam kerajaan.Isu agihan pink form saham yang diperuntukkan untuk bumiputra pernah menjadi bahan soksek politik semasa beliau nak bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993.

Ketirisan ini sebahagian besarnya akibat dari tindak tanduk bumiputra yang dapat saham menjualnya untuk untung segera diakui menjadi gejala yang gagalkan usaha mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputra dalam Dasar Ekonomi Baru.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkali-kali pernah cakap mengenainya.

"Bagi saya, isu yang melibatkan hak orang Melayu dan kaum Bumiputera ini masih belum dapat diselesaikan. Mana pergi agihan saham untuk Bumiputera dan faedahnya kepada siapa? Kata Anwar konon macam orang kehairanan semasa mendakwa UMNO dan BN main isu sentimen kaum untuk menutup soal ketirisan saham itu.

Najib yang ditanya oleh Agendadaily mengenai hal berkenaan dalam sidang akhbarnya selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya Rabu menjelaskan antara langkah membendung gejala itu ialah penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).


Katanya kerajaan tidak akan mengagihkan saham kepada individu yang tiada keupayaan atau kapasiti untuk menyimpan saham sebagai pelaburan jangka panjang.

Sebaliknya kerajaan akan menyerahkan kepada Ekuinas untuk mengendalikan pengurusan pengagihan saham berkenaan.

“Adalah lebih baik kita berikan galakan kepada syarikat-syarikat Bumiputra yang mempunyai potensi untuk berkembang menjadi syarikat yang lebih besar. Sebab itu kita beri peranan ini kepada Ekuinas sebagai satu pendekatan yang lebih berkesan,” katanya.

Najib bercakap kepada pemberita selepas menerima sebuah buku yang mengandungi catatan ucapan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan daripada pelajar-pelajar SK Bukit Damansara Kuala Lumpur . Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhiddin Yassin.

Dalam pada itu menyentuh mengenai Model Baru Ekonomi (MBE) ,Perdana Menteri menjelaskan ia bukan untuk menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi mengenai liberalisasi yang progresif.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dengan apa yang dilakukan dan memikirkan kepentingan semua rakyat Malaysia termasuk Bumiputera.

"MBE bukan mengenai menggantikan sepenuhnya (DEB) tapi mengenai liberalisasi yang progresif.

"Jadi, kita amat berhati-hati dengan apa yang kita lakukan kerana akhirnya, kita perlu mempertimbangkan kepentingan semua rakyat Malaysia. Jadi, kepentingan bumiputera akan diambil kira,” katanya.

Minggu lepas, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata dasar DEB yang pro-Bumiputera masih perlu dan jangka masa 20 tahun masih tidak mencukupi bagi orang Melayu untuk bersaing dengan bangsa lain.

Mengulas insiden yang berlaku di Ketapang, Kalimantan Barat pada Ahad lalu apabila kediaman seorang jurutera Malaysia dilontar batu oleh anggota gerakan anti-Malaysia, Najib berkata kerajaan belum bercadang mengeluarkan nasihat larangan melawat Indonesia kepada rakyat Malaysia.

Najib berkata dia perlu berbincang dengan Wisma Putra sebelum nasihat larangan lawatan itu dikeluarkan kerana ia merupakan satu perkara yang serius yang melibatkan kepentingan kerajaan, perniagaan dan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

"Kita perlu pertimbangkan dengan sebaik-baiknya. Pada peringkat ini, kita tidak akan keluarkan nasihat ini kecuali jika keadaan menjadi lebih buruk," katanya.


Selain kejadian di Ketapang itu, Kedutaan Malaysia telah dilontar najis minggu lalu oleh penunjuk perasaan yang turut membakar Jalur Gemilang.

Ditanya mengenai pertemuan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dengan Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa di Kota Kinabalu pada 6 Sept ini bagi membincangkan isu batas perairan kedua-dua negara itu,

Najib berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan baik supaya ia tidak berpanjangan.

"Kalau boleh apa-apa insiden pun kita mesti berusaha untuk selesaikan dan tidak mengundang kepada reaksi seperti tunjuk perasaan yang keterlaluan yang berlaku baru-baru ini.

"Kita perlu ambil pendirian bahawa kalau ada insiden, biarlah kita selesaikan insiden itu dan tidak ada pihak lain campur tangan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.” – 01/09/2010.


No comments:

Post a Comment